Assalamualaikum dan salam sejahtera...=)
Bila direnung-renung kembali hidup kita, tipulah kalau kita cakap kita tak pernah mengalami sebarang kesulitan, kejatuhan, kesedihan, penderitaan, kesakitan. Mustahil kehidupan seseorang itu gembira setiap detik dan saat sejak dia dilahirkan sehinggalah sekarang.
Aku pernah sedih, aku juga pernah sakit, pernah rasa terbeban dan kadang-kadang merasakan mati itu lebih baik. Astaghfirullah, tapi benarkah mati itu lebih baik? Adakah dengan mati segalanya akan berakhir? Jawapannya TIDAK. Aku masih punya peluang membetulkan segala-galanya, mengapa perlu menyerah begitu awal?
Pernahkah kita terfikir, setiap masalah dan kesakitan dalam hidup itu hanyalah ujian dariNya. Dia hanya mahu menguji sejauh mana nilai kesabaran kita sebagai hambaNya, adakah kita akan kembali padaNya memohon pertolongan atau adakah kita terus menyombongkan diri berpaling dariNya meski kita amat-amat memerlukan Dia. Ya, kita memerlukan Dia, Allah. Sedangkan Allah tidak memerlukan kita sedikit pun, andai Allah mahu, sudah pasti Dia menghapuskan kita semua dan menggantikan kita dengan makhluk yang baru yang jauh lebih hebat, tunduk dan patuh dan tidak sombong seperti kita ini. Tetapi Allah tidak berbuat demikian, Allah Maha Penyayang dan Pengampun sentiasa menunggu kita hambaNya untuk kembali.
Janganlah kita menyangka kita mampu mengatasi masalah kita sendiri tanpa rahmat dan pertolongan dariNya. Andai Allah mahu memberi kebahagiaan kepada seseorang, tiada satu tangan pun mampu menahan, dan andai Allah mahu memberi kesusahan kepada seseorang, tiada satu tangan pun mampu menghalang. Maksudnya, andai Allah mahu beri kita kebahagiaan, biar sebesar mana pun rintangan, kita tetap akan mengecapi kebahagiaan itu dalam hidup. Dan andai Allah mahu memberi kita kesusahan dan kesedihan, biar sampai ke hujung dunia kita mencari kebahagiaan, kita tak kan pernah temui kegembiraan sebenar. Justeru, hanya Allah sajalah tempat kita memohon pertolongan dalam menghadapi setiap kesulitan dalam hidup. Kesakitan itu satu anugerah. Tanpa rasa sakit dan derita, kita akan terus terleka dengan dunia kita sendiri dan dengan hadirnya kesakitan itu, ia seoalah-olah teguran secara langsung dari Tuhan kepada kita untuk bermuhasabah diri, melihat kembali kekurangan diri kita, apakah kita masih di atas landasan atau sudah jauh tersasar, apakah kita selalu mengadu kepada Allah sebelum ini. Jika belum, inilah masanya untuk kita kembali padaNya. Sayangnya Allah pada kita, Dia tak membiarkan kita hanyut dan leka dengan dunia.
Ajaibnya bila kesakitan itu menjadi penghubung antara kita dan Tuhan. Hanya kita dan Dia, tiada sebarang perantaraan untuk mengadu padaNya. Melalui sujud kita, mengadulah padaNya, Yang Berkuasa atas segala-galanya. Menangislah sepuas hati memohon pertolongan dariNya kerana tiada apa-apa atau sesiapa yang mampu menolong kita melainkan Allah sahaja. Allah sengaja memberi kita kesusahan dan kesulitan untuk melihat ketaatan kita. Andai kita berdoa, pastilah Allah akan memakbulkan kerana itulah yang ditunggu-tunggu Allah! Tapi malangnya, kita melarikan diri dan seakan-akan tidak percaya pada rahmatNya sedangkan masalah kita itu juga datang dengan izin Allah.
Doa itu sememangnya senjata yang ajaib. Berdasarkan pengalaman aku sendiri, setiap kali aku berada di dalam kesulitan, kesedihan yang tiada siapa pun yang memahami aku, tiada seorang pun yang faham, dan aku merasakan duniaku gelap. Saat itu aku cuba untuk sujud padaNya, aku bukanlah hambaNya yang baik sebelum ini, aku bukanlah hambaNya yang taat, aku banyak melakukan dosa, tapi aku tetap cuba sujud dan berdoa, kerana aku tahu hanya Dia saja tempat untuk aku mengadu. Aku menangis memohon pertolongan merasakan diriku tiada harapan lagi. Aku menangis dan terus menangis di hadapanNya dan malu akan dosa-dosaku. Aku merasakan saat itu Allah mendengar aku. Dan ajaibnya kesulitan yang aku rasa aku tidak mampu keluar satu ketika dahulu, hilang dan Allah gantikan dengan yang lebih baik. Yang mustahil jadi tak mustahil, impossible became possible, hebatnya! Alhamdulillah, betapa besar nikmat yang Allah berikan pada kita semua. Walau sebesar mana masalah kita, ingatlah Allah itu lebih Berkuasa dan Maha Agung atas setiap sesuatu, tiada yang mustahil bagi Allah. Tak ada.
Kesakitan yang perlu ditanggung di dunia ini terlalu kecil untuk dibandingkan dengan kesakitan api neraka di akhirat sana. Setiap kesakitan yang Allah berikan, andai kita bersabar dan mohon pertolongan dariNya, pasti Allah akan memudahkan semuanya dan semoga menjadi ganjaran pahala buat kita menuju syurgaNya. Nilai dunia ini terlalu kecil dan hina untuk ditangisi.
Btw,Ada satu kisah menarik yang ingin dikongsi mengenai nilai dunia pada sudut Islam, credit to majalah al-Ustaz yang siarkan cerita ni, suka sangat cerita ni..^^
"Pada suatu hari, Sayidina al-Hasan r.a: cucu Rasulullah s.a.w. keluar dari rumahnya dengan memakai pakaian cantik dan serba baru. Dalam perjalanan, beliau terserempak dengan seorang peminta sedekah Yahudi. Pakaiannya kasar dan diperbuat daripada kulit lusuh dan bertampal-tampal. Dia membawa sebuah bekas air daripada kulit yang sudah usang. Keadaan dirinya tidak terurus dan langkahnya tidak teratur.
Apabila melihat al-Hasan yang begitu gagah dan kemas, dia terpegun. Kemudian dengan lantang dia menyuruh Sayidina al-Hasan berhenti lalu berkata,
"Wahai cucu Rasulullah, saya ingin mengajukan satu pertanyaan kepada anda."
"Apa itu?" Tanya al-Hasan.
"Datukmu pernah berkata bahawa dunia ini penjara bagi orang Mukmin dan syurga bagi orang kafir. Engkau seoarang Mukmin dan aku seorang kafir. Tetapi aku tidak melihat dunia ini melainkan syurga bagimu dan engkau bersenang-lenang dengannya. Dan aku tidak melihat dunia ini melainkan sebagai penjara bagiku." kata Yahudi itu.
Sayidina al-Hasan tersenyum, kemudian berkata: "Wahai saudara seandainya engkau tahu apa yang Allah janjikan kepadaku di akhirat kelak (yakni nikmat syurga), maka engkau akan dapati keadaan aku sekarang ini seperti daalm penjara. Dan sekiranya engkau dapat melihat apa yang Allah janjikan kepada engkau di akhirat ( yakni seksa yang sangat pedih), maka engkau akan merasakan bahawa engkau sekarang ini berada di dalam syurga yang sangat luas."
RENUNG-RENUNGKAN
Salam..=)
0 comments:
Post a Comment